Kelab EPL bakal didenda jika enggan lepas pemain


  • Podium
  • Khamis, 09 Sep 2021

FIRMINO dan Ederson antara bintang EPL yang akan terlepas aksi EPL minggu ini. — Reuters

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) diminta untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang enggan melepaskan pemain mereka untuk tugasan antarabangsa minggu hadapan.

Persatuan Bola Sepak Brazil meminta badan pengelola bola sepak dunia itu mengguna pakai Artikel 5 untuk menguatkuasakan tempoh larangan terhadap kelab-kelab EPL daripada memilih pemain mereka pada 10 hingga14 September, yang akan menyaksikan mereka terlepas perlawanan EPL minggu ini dan juga aksi Liga Juara-Juara Selasa depan.

Pemain yang tidak mendapat pelepasan untuk aksi kelayakan Piala Dunia menentang Argentina dan Peru adalah Raphinha dari Leeds, Fred (Manchester United), Thiago Silva (Chelsea), Ederson dan Gabriel Jesus (Manchester City), serta Alisson, Roberto Firmino dan Fabinho (Liverpool).

Ini bermaksud Fred bakal terlepas kunjungan Manchester United ke Bern, Switzerland menentang Young Boys manakala Thiago Silva tidak dapat diturunkan menentang Zenit St Petersburg untuk aksi Liga Juara-Juara Selasa depan.

Pihak FA England juga telah dihubungi oleh FIFA mengenai perkara itu.

Menurut Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, hukuman yang mungkin dikenakan jika arahan ini diabaikan termasuk denda dan membatalkan perlawanan dengan kekalahan 3-0, walaupun tidak jelas apa yang akan berlaku jika Leeds dan Liverpool, yang bakal bertemu di Elland Road Ahad ini menentang keputusan itu.

Minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Chile telah meminta FIFA untuk menguatkuasakan tempoh larangan ke atas Ben Brereton yang beraksi untuk Blackburn dan Francisco Sierralta (Watford).

Mexico dan Paraguay turut meminta FIFA melakukan perkara sama terhadap Newcastle dan Wolves yang enggan melepaskan Miguel Almiron dan Raul Jimenez. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

fifa, brazil, epl, liga juara-juara,