Hadi Fayyadh kembali beraksi di Jepun


  • Podium
  • Khamis, 07 Okt 2021

HADI Fayyadh dilaporkan sedang menjalani rehabilitasi dan sudah turun berlatih. — Agensi
PENYERANG muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak dijangka kembali beraksi untuk kelab bola sepak Jepun, Azul Claro Numazu di Liga Jepun 3 (Liga J3) pada Disember.

Hadi Fayyadh sebelum ini mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) semasa satu sesi latihan Mac lalu.

Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada berkata, proses pemulihan dan rehabilitasi pemain tersebut berjalan dengan baik dan Hadi Fayyadh sudah turun berlatih dengan pasukannya.

"Beliau akan beraksi awal Disember ini dan Liga J3 masih berlangsung sehingga pertengahan Disember. Perkembangan terkini yang saya terima beliau meningkatkan latihan kecergasan dan kembali kepada latihan bersentuhan dengan pasukan.

"Doktor dan jurulatih fizikal pasukan juga telah menyediakan program rehabilitasi untuknya. Mereka memaklumkan Hadi Fayyadh boleh menyertai pasukan itu sebelum musim berakhir pada pertengahan Disember,” katanya.

Beliau memberitahu perkembangan pemain terbabit kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yakult Malaysia Sdn Bhd dengan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Negeri Sembilan pada Khamis.

Di bawah MoU itu, Yakult akan terus menaja sebanyak RM60,000 kepada MSDeaf sehingga Oktober tahun depan.

Program berkenaan turut mengetengahkan bekas pemain kebangsaan Jepun, Masashi Motoyama yang beraksi untuk Kelantan United (KUFC) dengan sumbangan RM10,000 kepada persatuan itu. — Bernama