SEORANG pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangkap polis kerana disyaki melakukan serangan seksual ketika mengunjungi kelab malam.
Pemain berusia 20-an itu ditahan bersama seorang lagi individu berusia dalam lingkungan 40-an.
Bagaimanapun, atas dasar perundangan, indentiti sebenar pemain berkenaan tidak didedahkan.
"Brighton & Hove Albion menyedari salah seorang pemain kini sedang membantu pihak polis melakukan siasatan.
"Perkara ini berkait dengan proses perundangan dan kelab tidak boleh membuat apa-apa komen buat masa sekarang," kata kelab itu.
Menurut laporan, ketika ditahan, pemain berkenaan sedang berparti bersama rakan-rakannya di sebuah bar.
Polis Sussex sudah pun mengesahkan yang pihaknya menangkap dua lelaki selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Dua lelaki ditahan selepas wanita berkenaan membuat laporan berkaitan serangan seksual di salah satu lokasi di Brighton, awal pagi Rabu.
"Seorang lelaki 40an dan 20an, kedua-duanya dari Brighton selepas disyaki melakukan srangan seksual. Mangsa kini sedang mendapat sokongan daripada pakar. — Agensi