Nur Dhabitah pernah 'lupakan' media sosial


  • Podium
  • Khamis, 07 Okt 2021

NUR Dhabitah menyifatkan pendidikan adalah perkara utama dalam kehidupan.
PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri mengakui dia pernah 'lari' sebentar daripada media sosial selepas temasya Sukan Olimpik Tokyo berakhir baru-baru ini.

Menurut Nur Dhabitah, ketika itu dia lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga sewaktu fasa berehat.

"Kehidupan saya sedikit sibuk selepas sukan Olimpik tetapi saya cuba mengawalnya," katanya ketika sidang media sempena Majlis Amanat Naib Canselor Minggu Mesra Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya pada Rabu.

Nur Dhabitah merupakan salah seorang pelajar baharu yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di UKM.

Pada majlis berkenaan, Nur Dhabitah turut memimpin bacaan Ikrar Pelajar Baharu.

Ketika ditanya tentang keputusannya melanjutkan pengajian ke UKM, Nur Dhabitah menjelaskan dia mahu melakukan sesuatu yang seronok dalam kehidupannya.

"Saya mahu berada dalam persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Paling penting adalah kebahagiaan dalam kehidupan saya," ujarnya.

Tambah Nur Dhabitah, aktiviti sukannya tidak akan terjejas walaupun sedang melanjutkan pengajian.

"Saya akan berbincang dengan jurulatih tentang jadual pembelajaran kerana saya tidak mahu menangguhkan pengajian terlalu lama.

"Sebagai contoh, jika saya ada kelas di waktu pagi, saya akan menjalani latihan di sebelah petang dan malam pula menyiapkan tugasan pembelajaran. Itu perancangan saya," menurutnya lagi. — Majoriti