Siapa kata Messi tidak mampu menyerlah di EPL?


  • Podium
  • Rabu, 06 Okt 2021

RAMAI mempertikaikan kebolehan Messi beraksi dalam saingan EPL yang mementingkan fizikal. — Agensi
BEKAS penyerang England, Gary Lineker menafikan pemain Paris Saint Germain (PSG), Lionel Messi akan mengalami kesukaran bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut Lineker, prestasi Messi sewaktu menentang kelab England di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sudah cukup menjadi bukti bahawa dia tidak mempunyai masalah bermain dalam liga terbabit.

"Itu adalah pendapat yang kurang bijak kerana segelintir orang percaya Messi tidak akan berjaya di England kerana EPL lebih mengutamakan fizikal.

"Messi menjaringkan 27 gol dalam 35 perlawanan menentang kelab England di Eropah, ia sesuatu yang bersejarah.

"Saya rasa hanya dua atau tiga pemain yang boleh memecahkan rekod itu dengan bermain di EPL pada setiap minggu," kata Lineker.

Kali terakhir Messi mencetak gol menentang kelab England adalah sewaktu pertemuan PSG dan Manchester City pada saingan UCL baru-baru ini.

Tambah menarik, gol tersebut merupakan jaringan pertamanya bersama PSG selepas menyertai kelab berkenaan musim ini.

Ramai mendakwa Messi masih belum membuktikan keupayaan sebenarnya dengan bermain dalam EPL meskipun pemain tersebut sudah memenangi Ballon d'Or sebanyak enam kali. — Agensi

Messi, Lineker, PSG, EPL, UCL