PEMAIN muda negara mungkin tidak berdepan sebarang tekanan untuk mengharumkan nama Malaysia pada penampilan Piala Thomas kali ini.
Di samping misi memburu kejayaan, pemain negara boleh menggunakan peluang ini untuk meraih pengalaman di pentas tertinggi terutamanya ketika menentang lawan di ranking lebih tinggi.
Bekas pemain negara, Datuk Rashid Sidek berkata, pemain sedia ada memiliki semangat luar biasa untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
“Bagi saya, mereka tidak akan pandang rendah kepada Kanada, apatah lagi Jepun. Ini kerana, kebanyakan pemain beraksi buat kali pertama di pentas saingan Piala Thomas ini.
“Oleh itu, saya yakin mereka akan berikan yang terbaik dan mereka akan main betul-betul tanpa mengira lawan yang akan dihadapi pada saingan kali ini.
“Lagi pun, mereka masih muda dan perlukan pengalaman terutamanya apabila berdepan pemain-pemain yang berada pada ranking yang lebih tinggi daripada mereka,” katanya.
Selepas penarikan diri England, skuad negara kini hanya perlu mengharungi dua aksi dalam Kumpulan D, bertemu Kanada pada 12 Oktober ini dan Jepun (14 Oktober).
England menarik diri selepas pemain utamanya mengalami kecederaan.
Situasi itu menyaksikan skuad Piala Thomas negara kini memiliki peluang cerah untuk mara ke suku akhir.
Rashid berpendapat, prestasi di Piala Sudirman seakan memberikan sinar dan harapan untuk melihat kejayaan yang mampu dijelmakan oleh pemain negara pada temasya itu kali ini. — Sinar Harian