DUA pemain baharu Ireland, Sam Hyland dan Conor Empey menjadi pemusnah buat skuad hoki negara selepas jaringan dihasilnya berjaya membantu negara itu menang 3-2 ke atas Speedy Tigers pada Selasa.
Pada aksi yang berlangsung di Kelab Hoki Lisnagarvey itu, Ireland bermula garang dan memperoleh gol pembukaan menerusi Hyland seawal minit kedua permainan.
Enam minit berselang, Empey terus mengukuhkan kedudukan Ireland apabila menghasilkan jaringan kedua juga menerusi gol padang.
Speedy Tigers tidak mengalah dan penghujung suku ketiga, anak buah A Arulselvaraj memperoleh jaringan pertama menerusi Mohd Azrai Aizad Abu Kamal sebelum Muhammad Razie Abdul Rahim menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun, minit ke-57, Empey muncul wira Ireland apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti sekali gus memastikan kemenangan buat pasukannya.
Arulselvaraj terpaksa akui yang kini dia berdepan kerja rumah yang cukup berat untuk memperbaiki kelemahan pasukan terutamanya ketika situasi bertahan dan memanfaatkan peluang terhidang.
“Saya agak kecewa dengan keputusan ini kerana kami mengawal permainan dengan baik dan kami dihadiahkan dengan lima pukulan sudut penalti berbanding Ireland yang hanya mendapat satu pukulan sudut penalti, tetapi berjaya menyudahkannya.
“Dari segi peluang untuk menjaringkan gol juga kami mempunyai lebih banyak peluang berbanding Ireland.
“Kekurangannya adalah daripada segi pertahanan dan kekuatan untuk mengendalikan bola dalam kawasan kami sendiri,” katanya menerusi kenyataan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM). – Majoriti