KAIN rentang ‘Koeman Out’ terpampang di Camp Nou selepas Barcelona dimalukan dengan kekalahan besar 0-3 di tangan Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu.
Anak-anak buah Ronald Koeman tenggelam dengan kehebatan Bayern, malah terpaksa bertahan dalam sebahagian besar permainan tanpa melakukan ancamana ke kubu lawan.
Jika Barcelona terus mempamer aksi buruk seperti itu dalam baki saingan, Liga Europa mungkin menggamit mereka kerana dua lagi lawan yang perlu ditentang dalam Kumpulan E juga tidak mudah yakini Benfica dan Dynamo Kiev.
Barcelona tewas 2-8 kepada Bayern dua tahun lalu, dan keadaan menjadi bertambah buruk selepas mereka membenarkan Luis Suarez, Lionel Messi dan Antoine Griezmann meninggalkan kelab.
Koeman menurunkan skuad lemah dalam perlawanan itu, malah terpaksa menggunakan pemain berusia 17 tahun, Gavi serta pemain remaja 18 tahun, Yusuf Demir untuk menggalas cabaran.
Dua jaringan Robert Lewandowski pada babak kedua dan satu gol menerusi Thomas Mueller di separuh masa pertama membolehkan Bayern pulang ke Jerman dengan tiga mata berharga.
“Inilah kami sekarang. Kami berada di tempat yang sepatutnya, itulah realiti,” kata pertahanan Barcelona, Gerard Pique. – Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram