Mahu kekal beraksi bersama England, Sancho harus buktikan dengan Man. United


  • Podium
  • Sabtu, 02 Okt 2021

SANCHO perlu membuktikan kemampuannya jika diturunkan Man.United dalam aksi EPL berdepan Everton sebentar lagi. — Agensi.

PEMAIN sayap sensasi Manchester United, Jadon Sancho diberikan peluang terakhir untuk membuktikan kemampuannya kepada pengurus England, Gareth Southgate yang akan membuat keputusan sama ada menyenaraikan namanya untuk aksi antarabangsa bulan ini.

Sancho, 21, kini dikritik hebat selepas gagal mempamerkan prestasi mengagumkan setaraf dengan yuran perpindahan tinggi dibayar Man.United kepada Borussia Dortmund iaitu £73 juta (RM411.07 juta).

Sancho dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan The Red Devils apabila masih kemarau gol daripada lima penampilannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.

Bagaimanapun, Southgate, 51, mengakui, situasi itu tidak mengejutkannya kerana Sancho memerlukan sedikit masa lagi sebelum ‘meletup’ seperti dilakukannya selama empat musim di Jerman bersama Dortmund.

Pengendali The Three Lions itu juga yakin Sancho mampu menjelmakan impak positif jika diturunkan dalam kesebelasan utama Man.United menentang Everton dalam aksi EPL di Old Trafford jam 7.30 malam Sabtu waktu Malaysia.

“Man.United adalah antara kelab terbesar di dunia, ia amat berbeza jika dibandingkan dengan Dortmund di Bundesliga. Jadon (Sancho) perlu mengadaptasi dirinya dengan banyak faktor dan ia bukan satu perkara mudah.

“Adakah dia layak dipanggil berdasarkan prestasi ketika ini? Mungkin tidak tetapi kami telah melabur banyak untuk jangka masa panjang buat Jadon kerana percaya dia boleh mencapai satu tahap tertinggi.

“Saya percaya dia akan membuktikan sesuatu dalam tempoh terdekat ini untuk membalas kepercayaan semua orang yang menaruh harapan terhadap dirinya,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram