PADA saat perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia 2021 berbaki tiga pusingan lagi, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah memberi bayangan seolah ingin bersara.
Perkara itu menjadi persoalan ramai pihak apabila Hafizh pada Isnin berkongsi klip gambar berkapsyen di akaun media sosial Instagram miliknya tentang perjalanan kariernya selama lapan tahun di kejohanan dunia itu sejak 2014.
Pelumba berusia 27 tahun itu membuat perkongsian menerusi Instastory dengan meletakkan kapsyen, "Lapan tahun memori pahit dan manis di Kejuaraan Dunia,"
HAFIZH berkongsi klip gambar berkapsyen di Instastory miliknya pada Isnin. — Instagram
Tulisnya lagi, dia berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjuangannya sepanjang dia menjadi pelumba negara sehingga hari ini.
"Saya takkan lupa anda semua, mana yang baik saya ambil, yang buruk saya lupakan.
"Sesuatu yang baharu saya akan bagi tahu anda, bila bila tiba masanya.
Anda semua terbaik, terima kasih semua," kongsinya lagi.
Terdahulu, Hafizh yang dikenali dengan julukan 'El Pescao' menyertai pasukan NTS RW Racing GP pada musim ini.
Pada Mei lalu, Hafizh mencatat rekod persendirian terbaik di GP Itali selepas menamatkan saingan di tempat kesembilan.
Dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat pada Ahad, dia berjaya menempatkan diri di tempat ke-20 selepas bermula dari petak ke-27.
Hafizh melengkapkan 18 pusingan perlumbaan di Circuit Of The Americas (COTA) dengan catatan 39 minit 50.179 saat.
Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Red Bull KTM Ajo, Raul Fernandez dengan catatan 39:10.521s.
Pelumba Federal Oil Gresini Moto2, Fabio Di Giannantonio berada di tempat kedua dengan catatan masa 39:12.255s disusuli Marco Bezzecchi dari pasukan SKY Racing Team VR46 ditempat ketiga (39'13.621s).
Selepas perlumbaan di Amerika Syarikat, Hafizh kini berada di tangga ke-28 keseluruhan dalam carta pelumba Moto2 dengan lapan mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram