Pertemuan Itali dan Sepanyol, siapa lebih hebat?


  • Podium
  • Rabu, 06 Okt 2021

PEMAIN pertahanan Itali, Leonardo Bonucci meraikan kemenangan menentang Sepanyol ketika Euro 2020 pada Julai lalu. — AFP

PERLAWANAN separuh akhir UEFA Nations League mempertemukan Itali dan Sepanyol pada Khamis.

Secara statistik, rekod pertemuan Gli Azzuri dan La Furia Roja dilihat seimbang.

Kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak 38 kali. Itali dan Sepanyol masing-masing menang 11 kali dan 16 perlawanan lagi berkesudahan seri.

Itali berjaya menyumbat gol ke gawang Sepanyol sebanyak 44 kali manakala Sepanyol pula 41 kali.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah sewaktu peringkat separuh akhir kejohanan Euro 2020.

Pada pertemuan di Stadium Wembley, England, pasukan bimbingan Roberto Mancini menang ke atas Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti 4-2.

Menurut Mancini, Sepanyol merupakan pasukan paling sukar ditewaskan oleh Itali ketika Euro 2020.

"Mereka merupakan pasukan yang bagus dengan pemain yang bagus. Ini merupakan pertemuan yang baik.

"Menghantar bola di atas padang merupakan perkara terbaik daripada mereka. Kami tidak mempunyai masa untuk menguasai teknik tersebut di peringkat mereka. Kali ini ia akan berbeza," kata Mancini.

Sependapat dengan Mancini, jurulatih Sepanyol iaitu Luis Enrique turut menjangkakan pertemuan dengan Itali akan menyajikan sesuatu yang menarik.

"Saya mahu melihat apakah tahap permainan yang boleh kami tampilkan di hadapan penonton Itali dan menentang juara bertahan Eropah.

"Kami tidak memerlukan motivasi lebih daripada itu. Saya tidak sabar untuk pertemuan tersebut," ujarnya. — Majoriti

Mancini, Enrique, UEFA Nations League