Dollah Salleh optimis bantu pasukan buru kemenangan


  • Podium
  • Isnin, 04 Okt 2021

DOLLAH berkata, dia akan memikirkan jalan terbaik untuk memastikan pasukan tidak tersingkir awal.
KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh menyifatkan masih belum terlambat untuk barisan pemain pasukan itu kembali mendapatkan prestasi terbaik bagi memburu kemenangan pertama selepas dua kali tewas dalam aksi kumpulan A dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini.

Menurutnya, dia akan memikirkan jalan terbaik untuk memastikan pasukan tidak tersingkir awal.

Apa yang pasti, mereka perlu belajar daripada kesilapan yang lalu dan kembali memperbaiki kelemahan dalam tempoh rehat selama hampir satu bulan sebelum kembali beraksi.

“Secara jujur, memang saya boleh katakan agak bergelut untuk mara ke suku akhir, tetapi sekarang bukan masa untuk mengangkat bendera putih sebab macam-macam mana pun kami kena terus berjuang juga.

“Sekarang saya nak pemain-pemain lupakan apa yang pasukan sudah lalui sebelum ini dan fokus untuk perlawanan akan datang sebab kalau mereka terus fikirkan kekalahan demi kekalahan yang lepas, memang benda ini akan berterusan seperti itu.

“Masing-masing kena fikir macam mana kita nak atasi benda ini dan untuk dapatkan balik kemenangan sebab kita bukan tiada peluang, masih ada peluang lagi nak menang, cuma kena lebih positif dan perbaiki balik kelemahan”, jelasnya.

Sementara itu, Dollah berkata fokusnya kini adalah untuk meletakkan kembali Sri Pahang ke kedudukan yang lebih baik dan menolak tepi tekanannya selaku ketua jurulatih.

“Sebenarnya saya sudah lali dengan benda-benda seperti ini sebab macam-macam rintangan saya dah tempuh dalam karier.

“Ada pahit dan ada manis, jadi saya tiada nak fikir negatif sangat pun mengenai perkara macam ini dan nak cakap tertekan sangat pun, tiada la sampai macam tu.

“Yang penting sekarang, saya tetap positif dan saya lebih fikirkan untuk macam mana kita nak tempuh bagi perlawanan-perlawanan akan datang, itu sahaja”, tambahnya.

Sri Pahang kini masih lagi gagal meraih sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan ketika menentang Kuala Lumpur City FC dan Sarawak United FC.

Saingan TM Piala Malaysia akan kembali bersambung pada 29 Oktober bagi memberi laluan kepada skuad negara yang kini berada di Amman, Jordan bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram