Irrudianathan galas jawatan Setiausaha Kehormat Pafa


  • Podium
  • Isnin, 04 Okt 2021

PELANTIKAN itu berkuat kuasa 29 September lepas.

PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) mengumumkan pelantikan naib presidennya, Datuk Seri G. Irrudianathan sebagai pemangku Setiausaha Kehormat badan induk sukan itu bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Setiausaha Kehormat terdahulu Mohamed Helmi Mohamed.

Pemangku Presiden Pafa, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, pelantikan itu berkuatkuasa 29 September lepas.

"Pelantikan Irrudianathan mampu membantu melancarkan pengurusan persatuan dan akan memberi kebaikan kepada badan induk bola sepak negeri ini.

"Selamat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negeri khususnya dan negara amnya," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pafa, pada Isnin.

Untuk rekod, Irrudianathan menggalas tugas selaku Naib Presiden Pafa sejak 2015 hingga kini selain menjadi Penolong Pengurus The Bos Gaurus ketika menjulang Piala Malaysia pada 2018.

Selain itu, beliau juga merupakan Presiden Majlis Sukan India Perak (MSIP) yang menjadi ahli gabungan Pafa sejak 2015 hingga kini.

Irrudianathan ketika dihubungi, mengakui ia bukan satu tugas mudah namun tanggungjawab berkenaan akan digalas sebaiknya bagi membantu kepimpinan Pafa memacu pembangunan bola sepak di peringkat negeri dan daerah ke tahap terbaik.

"Saya terpanggil untuk mengambil tanggungjawab ini dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk Pafa khususnya dalam pembangunan sukan bola sepak yang kita lihat boleh diangkat ke tahap lebih profesional,” katanya.

Irrudianathan turut merakamkan penghargaan kepada Muhammad Yadzan atas kepercayaan dan keyakinan terhadapnya untuk menggalas tanggungjawab tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram