Kelantan FC kemuka bantahan rasmi sepakan penalti Sabah FC


  • Podium
  • Isnin, 04 Okt 2021

KELANTAN FC menghantar surat bantahan secara rasmi kepada FAM.

KELANTAN FC mengemukakan bantahan secara rasmi berhubung keputusan pengadil ketika pasukan itu menentang Sabah FC pada saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, 30 September lepas.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Kelantan FC memaklumkan telah menghantar surat bantahan secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar siasatan telus dapat dijalankan serta tindakan tegas diambil terhadap pegawai yang mengendalikan perlawanan berkenaan.

"Keputusan dilakukan pengadil perlawanan memberikan dua sepakan penalti kepada pasukan Sabah FC meragukan serta tidak wajar hingga memberikan keputusan seri pada perlawanan itu,” menurut kenyataan itu.

Pada perlawanan berkenaan, Kelantan FC terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 apabila pengadil Fitri Makson memberikan dua sepakan penalti kepada pasukan lawan pada minit ke-32 dan 79.

Dalam kenyataan sama, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, pihaknya membantah keputusan dilakukan Fitri kerana penalti itu tidak sepatutnya diberikan kepada pasukan lawan.

Kelantan FC turut kecewa kerana perkara seumpama itu kerap berulang hingga menafikan peluang Kelantan FC untuk mengutip mata penuh.

"Kami tidak berpuas hati terhadap keputusan ini sekali gus telah merentap semangat pemain Kelantan FC. Kami memohon Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan FAM mengambil serius perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya.

"Kami turut berharap tindakan drastik diambil bagi memastikan integriti dan ketelusan permainan secara keseluruhan Liga Malaysia diamalkan bagi mengelak sebarang permasalahan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram