SKUAD Harimau Malaya tidak boleh terlalu bergantung kepada pemain lama dan meminggirkan bakat baharu yang menyinar dalam saingan Liga Malaysia, kata Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail.
Menurutnya, susulan keputusan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggil enam pemain baharu untuk menghadapi dua aksi persahabatan yang dijadualkan pada Oktober depan.
Enam pemain baru tersebut adalah penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.
"Ia merupakan satu tindakan yang tepat sekali gus dapat menjadi pentas terbaik untuk memberikan pendedahan kepada pemain tersebut di peringkat antarabangsa.
"Ia juga pada masa sama dapat memperiapkan mereka untuk menjadi pelapis kepada skuad kebangsaan," katanya.
Tambah beliau, ketua jurulatih mempunyai hak mutlak untuk memilih pemain dan keputusan itu sudah tentu dibuat selepas dapat menilai perlawanan di Liga Super dan Liga Premier.
Jelas beliau lagi, Cheng Hoe sudah nampak ada pemain baharu yang menyerlah dan sepatutnyalah diberikan ruang dan peluang kepada pemain baharu ini untuk mewakili negara.
"Apa yang penting adalah dapat memberikan ruang kepada pemain baharu untuk menyarung jersi negara.
"Kalau kita tidak bagi pendedahan kepada pemain baharu, bila dia nak mendapatkan peluang membuktikan keupayaan di pentas antarabangsa," ujarnya.
Katanya lagi, selain itu, pemain-pemain baharu yang terpilih ini juga perlu membuktikan dan memberikan 100 peratus kepada pasukan untuk memastikan bahawa keputusan memanggil mereka adalah berbaloi.
Cheng Hoe hanya mengekalkan 12 pemain daripada perlawanan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE lalu.
Dia turut mengekalkan khidmat penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula.— Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram