KETUA jurulatih skuad bola sepak negara, Tan Cheng Hoe menjelaskan senarai pemain yang dibawanya ke Jordan untuk dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 bukan disebabkan faktor tekanan peminat.
Menurutnya, aksi persahabatan tersebut juga akan dijadikan medan menilai prestasi beberapa muka baharu yang disenaraikan.
"Saya merombak pasukan bukan kerana tekanan, keutamaan skuad kebangsaan sekarang adalah kita memerlukan ramai pemain supaya pada masa depan jika ada pemain alami kecederaan atau digantung perlawanan, ada pemain yang bersedia.
"Kalau tanya mana-mana jurulatih pun mereka nak dua-dua (keputusan dan pendedahan) sekali, tetapi dua perlawanan ini adalah sebagai pendedahan kepada pemain baharu di samping kita nak pastikan keserasian dan momentum pasukan.
"Kita tahu ini masa terbaik nak uji pemain baharu, termasuk pemain senior yang pernah dipanggil bagi membentuk pasukan, seterusnya bersedia untuk Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) 2020 dan Kelayakan Piala Asia nanti," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Selain itu, Cheng Hoe juga mahu mengukuhkan persefahaman antara pemain melalui aksi persahabatan berkenaan.
"Apabila pasukan bermain selepas lebih setahun tidak beraksi, kita nampak memang ada kekurangan dari segi keserasian antara pemain
"Saya juga mahu menguji kombinasi pemain dalam membentuk sebuah pasukan lebih mantap selepas prestasi kurang memberangsangkan skuad kebangsaan pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lepas,” jelasnya.
Beliau yang hanya berpeluang membawa 22 pemain terdiri daripada pemain sedia ada dan pernah dipanggil sebelum ini ke Jordan tetap mengharapkan keputusan yang positif daripada kedua-dua perlawanan itu.
Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia, akan berdepan Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan pada 9 Oktober.
Berdasarkan rekod, Malaysia seri dan tewas dua kali dalam empat pertemuan menentang Jordan dengan terbaharu skuad Cheng Hoe itu tumpas 0-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Ogos 2019 dan skuad negara juga tidak pernah mencatat sebarang kemenangan sepanjang enam pertembungan dengan Uzbekistan.
Skuad Harimau Malaya bersaing merebut kejuaraan Piala AFF 2020 yang dijadual berlangsung di Singapura pada Disember ini, sebelum menyambung misi memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 pada pusingan ketiga kelayakan kempen itu tahun depan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram