Terlepas debut Harimau Malaya kerana turun ke laut


  • Podium
  • Sabtu, 02 Okt 2021

AKSI Muhamad Shahrul Nizam (kanan) ketika menentang Selangor baru-baru ini. — Facebook/Terengganu FC

HANYA disebabkan turun ke laut, tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC), Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni terlepas peluang membuat debut pertama bersama skuad Harimau Malaya.

Muhammad Shahrul Nizam tidak turut serta bersama skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe yang sudah pun berlepas ke Jordan, awal pagi Sabtu bagi mengharungi dua aksi persahabatan menentang Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan (9 Oktober).

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas mendapat makluman daripada pengurus Terengganu, Zulfadli Rozi.

“Sepanjang saya jadi pengurus, tak pernah berlaku lagi pemain tidak datang untuk panggilan skuad kebangsaan.

“Tetapi saya dihubungi pengurus TFC sebenarnya pemain ini ke laut.

“Jadi, bila dia (Muhamad Shahrul Nizam) di sana memang tak dapat dihubungi, petang (Jumaat) baru dia mendarat dan dia juga terkejut,” katanya yang juga pengurus Harimau Malaya.

Muhammad Sharul Nizam atau dikenali sebagai Nijey antara tiga pemain disenaraikan Cheng Hoe bagi mengisi ketiadaan pemain utama iaitu pertahanan FC Midtjylland, Dion Cools, Muhammad Syahmi Safari (Selangor) dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Tambah Mohd Yusoff, beliau tidak menolak kemungkinan yang penyenaraian saat akhir menjadi penyebab kepada pemain itu terlepas pandang panggilan ke skuad kebangsaan.

Namun Mohd Yusoff menjelaskan, Zulfadli turut memohon supaya tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap Muhamad Shahrul Nizam.

“Kita tak nak perkara seperti ini berlaku lagi dalam mana-mana panggilan skuad kebangsaan pada masa hadapan,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram