WALAUPUN akan beraksi tanpa sorakan penonton, skuad Harimau Malaya tetap bersedia untuk memberikan yang terbaik dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 jika ia dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, apa yang penting adalah aksi terbaik dapat ditonjolkan oleh para pemain untuk pasukan negara.
"Saya percaya para pemainnya tetap mampu memberikan aksi terbaik walaupun tidak akan beraksi di hadapan penyokong sendiri.
"Apa yang penting kita mampu mendapat keputusan yang positif dalam kejohanan itu," katanya.
Tambahnya lagi, edisi kali ini berbeza dengan 2018 dan dia yakin pemain akan bersedia sebaik mungkin kerana tidak dapat bermain di laman sendiri.
Jelasnya, walaupun tiada sokongan daripada penyokong, Harimau Malaya perlu menghadapi situasi (tidak bermain di laman sendiri) dan memahami kerana masalah pandemik Covid-19.
"Sebelum ini, kami juga ada pengalaman bermain di venue berpusat di Dubai pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023," ujarnya.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga mengesahkan tidak berhasrat menghantar permohonan untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan kali ini.
Bagi Cheng Hoe, beliau mengakui tidak kisah negara mana yang akan menjadi tuan rumah biarpun Singapura, Thailand dan Kemboja disebut-sebut pilihan utama sebagai hos.
“Kalau dah diputuskan kita tiada pilihan. Sama ada bermain di mana-mana negara, kami perlu bersedia, tidak boleh bagi alasan dan menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.
“Kami barisan jurulatih dan pemain kena fikir positif dan apa jua yang berlaku bukan halangan untuk kami cuba mencipta impak positif dalam kejohanan kali ini,” ujarnya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Kemboja dan Laos pada Piala Suzuki AFF 2020 yang akan diadakan di venue berpusat - berbeza dengan format pertandingan sebelum ini.
Juara lima kali, Thailand pula mengetuai Kumpulan A yang turut dihuni Myanmar, Filipina, Singapura dan pemenang aksi kelayakan antara Brunei atau Timor Leste.
Bagaimanapun, AFF masih belum mengumumkan venue rasmi kejohanan dwitahuman itu dengan keputusannya hanya akan diketahui pada penghujung bulan ini. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram