Piala Sudirman: Chong Wei bangga prestasi pemain muda negara


  • Podium
  • Sabtu, 02 Okt 2021

CHONG Wei bangga dengan pencapaian pemain muda dalam skuad Piala Sudirman negara menjelang pertemuan berdepan Jepun dalam aksi separuh akhir malam ini. — Facebook/Badminton Photo BWF.

PEMAIN skuad Piala Sudirman negara digesa meneruskan momentum luar biasa ketika berdepan Jepun jam 9 malam ini waktu Malaysia selepas mengejutkan Indonesia, 3-2 dalam aksi suku akhir di Energia Arena, Vantaa, Finland awal pagi Sabtu.

Legenda dan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata, kemenangan ke atas Indonesia merupakan yang pertama terhadap seteru utama sukan badminton negara tersebut adalah hasil semangat juang tinggi dalam kalangan pemain muda Malaysia.

“Tahniah kepada semua pemain yang tidak mengecewakan biarpun ranking lawan masing-masing adalah tinggi.

“Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Aik memang 'power'. Tak terkejar 'minions' (Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo).

“Sementara Zii Jia pula tidak memberi peluang langsung kepada Anthony Ginting lawan yang tidak pernah ditewaskannya. Syabas!

“S Kisona pula hampir menewaskan Mariska biarpun lawan di kedudukan 30 teratas mengatasi Kisona. Selamat Hari Lahir Kisona, satu Malaysia menyambutnya untuk anda,” kata bekas pemain berusia 39 tahun tersebut di Facebook pada Sabtu.

Pada masa sama, Chong Wei menyifatkan pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah mempunyai masa depan cerah dalam sukan tersebut berdasarkan prestasi semasa di kejuaraan tersebut.

“Perlawanan keempat menentang juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, ingatkan senang-senang kalah sebaliknya tidak apabila Pearly Tan dan M Thinaah hampir mengalahkan beregu emas Indonesia.

“Chong Wei suka tengok Pearly dan Thinaah yang selalu senyum dan berkomunikasi dalam gelanggang - pasangan ini akan pergi jauh, percayalah,” ujarnya.

Sementara itu, Chong Wei turut memuji kemantapan gandingan beregu campuran Hoo Pang Ron dan Cheah Yee Seen yang membawa cabaran negara untuk perlawanan terakhir tersebut.

“Akhir sekali, lawan beregu campuran ranking nombor empat dunia. Ramai tak kenal pun beregu campuran Malaysia, Cheah Yee See dan Hoo Pang Ron, tapi mereka menunjukkan bahawa Malaysia tidak lemah dan tidak akan kalah sewenang-wenangnya.

“Bagai dirasuk Harimau Malaya, dua pemain muda Malaysia ini menghadiahkan kemenangan ajaib untuk negara tersayang. Terharu juga apabila mata terakhir dikenalpastikan oleh mata helang.

“Tahniah team! Rehatlah! Sudah tapau ayam penyet, malam ini kita kasi tapau bento! #malaysiaboleh #DemiMalaysia,” ujar Chong Wei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram