Piala Sudirman: Malaysia lepasi sasaran, kembali bertemu Jepun di separuh akhir


  • Podium
  • Sabtu, 02 Okt 2021

MALAYSIA menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi suku akhir Piala Sudirman dan dijadualkan bertemu Jepun di separuh akhir malam ini. — Agensi

SKUAD badminton negara berjaya melepasi sasaran apabila mengesahkan slot separuh akhir Piala Sudirman 2021 selepas pamer aksi cemerlang ketika menundukkan Indonesia 3-2 dalam aksi suku akhir di Vantaa, Finland, awal pagi tadi.

Kemaraan bergaya ini menyaksikan pasukan negara kembali membuat perhitungan dengan Jepun, pada jam 9 malam Sabtu, selepas lawan itu menewaskan Taiwan 3-1 di satu lagi aksi suku akhir.

Dalam aksi peringkat Kumpulan D sebelum ini, Malaysia ditewaskan Jepun 1-4.

Dalam aksi suku akhir berdepan Indonesia awal pagi tadi, beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See muncul wira apabila mengesahkan mata kemenangan buat Malaysia selepas aksi sengit dipamerkan kedua-dua negara.

Pada aksi penentuan, Pang Ron-Yee See menundukkan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-19, 9-21, 21-16.

Kejayaan ini menyaksikan skuad negara sudah pun menyamai pencapaian terbaik layak ke separuh akhir seperti dilakukan pada edisi 2009.

Paling membanggakan apabila kejayaan ke atas negara jiran itu adalah kemenangan pertama pasukan negara di pertandingan ini selepas akur pada perhitungan sebelum ini pada 1999 dan 2011.

Terdahulu, beregu lelaki negara yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan mata pertama negara, menewaskan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-12, 21-15.

Indonesia kembali menyamakan kedudukan selepas pemain perseorangan wanita, Gregoria Mariska Tunjung menundukkan S Kisona menerusi rubber set, 22-20, 18-21, 21-19.

Juara perseorangan Seluruh England 2021, Lee Zii Jia sekali lagi meletakkan kelebihan kepada Malaysia apabila menewaskan Anthony Sinisuka Ginting 21-11, 21-16.

Pada aksi seterusnya, walaupun berjaya memberikan tentangan sengit, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah akur tewas kepada pemenang emas Sukan Olimpik, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dalam aksi rubber set, 20-22, 21-17, 18-21.

Untuk rekod, skuad negara yang diketuai Zii Jia meletakkan sasaran suku akhir bagi kejuaraan edisi Piala Sudirman kali ini.

Satu lagi aksi separuh akhir pada jam 3 petang Sabtu melibatkan pertemuan antara juara bertahan, China yang bakal berdepan Korea. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram