'Menang atau kalah, kita lakukan sebagai satu pasukan'


  • Podium
  • Ahad, 19 Sep 2021

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan Jalur Gemilang kepada Kapten Pasukan Badminton Piala Sudirman Lee Zii Jia (dua, kanan) .
 Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kanan).
 — Bernama
KEPUTUSAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar pasukan muda ke tiga kejohanan utama - Piala Sudirman, Thomas dan Uber - yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat, memberikan peluang kepada barisan pemain berkenaan untuk menyinar.

Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia berkata walaupun skuad negara kurang dari segi pengalaman, ia memberi peluang bagi beliau dan rakan sepasukannya untuk membuktikan kemampuan masing-masing, apabila turun beraksi menentang pemain yang lebih handal.

Juara All England 2021, yang juga merupakan ketua pasukan Piala Sudirman dan Thomas negara kali ini, mengakui bakal menghadapi cabaran besar apabila purata umur pemain negara antara 23 dan 24 tahun, dengan beliau dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi taruhan utama.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang bakal turun selaku perseorangan lelaki utama negara di Piala Sudirman dan Thomas, berkata beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu berdasarkan pengalamannya di Sukan SEA Filipina dan Piala Sudirman di Nanning, China, kedua-duanya pada 2019.

"Bagi Piala Thomas, ini kali pertama saya galas tanggung jawab itu selepas persaraan Datuk Lee Chong Wei (pada pertengahan 2019), memang ada sedikit tekanan. Tetapi saya percaya boleh atasi masalah ini dengan sokongan rakan sepasukan kerana kita menang atau kalah, kita lakukan sebagai satu pasukan.

"Pengalaman pertama saya sebagai perseorangan utama adalah ketika Piala Sudirman 2019, ia memang menjadi pengalaman berguna dan menjadikan saya lebih matang,” katanya.

Diminta mengulas mengenai peluang skuad negara untuk mengatasi Jepun yang hilang khidmat tiga pemain beregu lelaki ditambah prestasi Kento Momota yang kurang memberangsangkan ketika ini, Zii Jia berkata peluang melakar kejutan tetap ada, namun bergantung kepada situasi pada hari pertandingan.

Gandingan nombor enam dunia Keigo Sonoda-Takeshi Kamura dan Hiroyuki Endo (yang membentuk gandingan nombor lima dunia bersama Yuta Watanabe) telah mengumumkan persaraan selepas prestasi kurang baik di Sukan Olimpik Tokyo, bulan lepas.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun bagi kedua-dua saingan Piala Sudirman dan Thomas.

Piala Sudirman dijadual berlangsung di Vantaa, Finland dari 26 Sept hingga 3 Okt, manakala pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber akan berlangsung di Aarhus Denmark dari 9 hingga 17 Okt.

Sementara itu, pemain beregu wanita Lee Meng Yean berkata beliau akan mencuba keserasian dengan beberapa pemain muda untuk membentuk gandingan yang mantap, dalam usaha kembali menduduki ranking 10 teratas dunia, susulan gandingannya Chow Mei Kuan mengumumkan persaraan selepas Olimpik Tokyo.

Meng Yean yang tidak akan beraksi di saingan Piala Sudirman, akan bergandingan dengan Go Pei Kee,19, di Piala Uber, manakala bagi kejohanan Terbuka Denmark (19-24 Okt) dan Terbuka Perancis (French Open) (26-31 Okt), pemain berusia 27 tahun itu akan beraksi bersama Yap Cheng Wen.

"Saya masih sedang mencuba keserasian, harap dapat diputuskan dengan cepat. Walaupun sudah lebih 10 tahun beraksi bersama Mei Kuan, saya rasa persaraannya membuka cabaran dan peluang baru bagi saya untuk mengembangkan karier saya bersama pemain lain, dengan harapan boleh menang lebih banyak gelaran pada masa depan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram