TAMPIL dengan semangat melawan luar biasa ketika menjinakkan seteru utama Indonesia 3-2 dalam aksi enam jam di suku akhir Piala Sudirman awal pagi Sabtu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mahu pemain-pemain negara terus menyalakan api semangat kebangkitan tersebut menjelang perlawanan menentang Jepun di Vantaa, Finland jam 9 malam ini waktu Malaysia.
"Pertamanya, saya sangat bangga dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan dalam kalangan pemain skuad Piala Sudirman 2021 kali ini.
"Biarpun masih muda, kurang pengalaman dan minit permainan di saingan kompetitif sebelum ini itu tidak menjadi penghalang untuk mereka lebih garang dalam setiap perlawanan mereka.
"Malah mereka semua tidak hanya berjaya membalas kepercayaan BAM dengan deliver sasaran ditetapkan persatuan malah juga membuat rakyat Malaysia bangga dan terharu dengan aksi tidak mudah menyerah kalah sejak hari pertama saingan bermula dengan semangat melawan luar biasa demi maruah Malaysia.
"Insya-ALLAH, saya percaya tembok Jepun tidak mustahil dirobohkan setiap pemain-pemain negara dengan syarat semangat juang tulen Keluarga Malaysia tidak mudah mengalah terus dikekalkan sepanjang perlawanan," ujar Norza.
Pada aksi malam Sabtu, Lee Zii Jia dan rakan-rakan juga berpeluang menebus kekalahan 1-4 kepada pasukan pilihan Jepun semasa aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Pada masa sama Norza berkata, pelaburan secara berterusan yang dilakukan oleh BAM terhadap program pembangunan pemain muda negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk jangka panjang mula membuahkan hasil menerusi pendedahan pada kejuaraan di Finland tersebut.
"Apa yang dipamerkan setiap pemain-pemain negara sejak hari pertama di Energia Arena membukti pelaburan terhadap pemain-pemain muda merupakan keputusan yang tepat.
"Pemain-pemain muda negara pada masa ini berada pada tahap 'young and dangerous' tidak hanya untuk melakar kemenangan tetapi juga mencipta kejayaan demi kejayaan dalam setiap pertandingan," ujarnya lagi. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram