Mahu Solksjaer dipecat, Bruno Fernandes didakwa sengaja tidak skor penalti


  • Podium
  • Selasa, 28 Sep 2021

FERNANDES akui turut kecewa kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti serta enggan mengambil serius dakwaan peminat Man.United. — Agensi

PEMAIN tengah Manchester United, Bruno Fernandes didakwa sengaja membuat sepakan penaltinya tersasar semasa perlawanan menentang Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Dakwaan itu dibuat oleh penyokong The Red Devils yang menyatakan bahawa tindakan perancang kelahiran Portugal itu sebagai tanda protes supaya pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer dipecat.

Ini berikutan Fernandes sebelum ini sentiasa berjaya membolosi gawang lawan dengan 22 gol daripada 23 perlawanan termasuk percubaan jarak jauh pada jarak 12.8 meter.

Kegagalan Fernandes mencetak gol pada sepakan penalti itu membuatkan Manchester United tewas 0-1 di Old Trafford.

Penyokong Manchester United turut menyuarakan dakwaan itu dengan memuat naik video di laman sosial TikTok untuk membuktikan tindakan Fernandes.

Video itu dimulakan dengan tajuk yang bertulis 'gol yang tersasar bukan satu kesilapan'.

Rakaman penalti tersebut kemudiannya disusuli dengan klip Cristiano Ronaldo memberi semangat kepada rakan sepasukannya itu.

Video itu turut memaparkan klip tentang satu insiden membabitkan pemain Liverpool, Steven Gerrard dan pengurus pasukan Roy Hodgson.

Insiden itu disamakan oleh penyokong dengan kegagalan Fernandes mencetak gol penalti.

Gerrard juga berdepan situasi sama apabila tersasar sepakan penalti pada perlawanannya di Elwood Park.

Hodgson meninggalkan Liverpool pada tahun 2011 setelah mengalami kekalahan 1-3 kepada Blackburn Rovers.

Fernandes bagaimanapun memaklumkan bahawa dia juga kecewa kerana gagal mencetak gol dalam perlawanan itu dan dia tidak mengambil serius dengan dakwaan peminat itu.

"Saya juga kecewa kerana gagal mencetak gol penalti sehingga menyebabkan pasukan saya kalah dalam perlawanan itu.

"Saya selalu memikul tanggungjawab saya dan menjadi harapan untuk gol kemenangan adalah satu tekanan yang berat," katanya.

Tambahnya, dia tetapi melangkah ke depan dan cuba memperbaiki diri bagi menghadapi cabaran untuk berdepan situasi sama pada masa akan datang.

Jelas Fernandes, kritikan dan pendapat yang berbeza adalah sebahagian besar bola sepak.

"Saya telah belajar untuk hidup dengannya, bahkan menggunakannya sebagai pendorong untuk lebih baik pada masa depan.

"Ini juga merupakan bahagian yang sangat penting dari komitmen saya untuk tidak pernah berhenti berusaha untuk menjadi pemain terbaik," ujarnya.

Fernandes menyertai Manchester United dari Sporting CP pada Januari 2020 dan telah membantu menguatkan lagi pasukan kelab itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram