CRISTIANO Ronaldo dilaporkan sudah menjelaskan kepada Ole Gunnar Solskjaer yang bakat dimiliki Manchester United memerlukan pasukan itu bermain secara lebih pantas.
Ronaldo kini mengumpul lima gol dalam lima perlawanan termasuk ketika bantu pasukan menang ke atas Villarreal dalam aksi Liga Juara-Juara.
Dalam laporan ESPN, kapten Portugal itu menetapkan satu standard yang cukup tinggi kepada rakan sepasukan dan memberitahu kepada Solskjaer agar bermain secara lebih pantas di kawasan lawan.
Menerusi laporan sama, Solskjaer juga sudah pun memberikan penekanan kepada pemain pertahanan supaya mengeluarkan bola dengan lebih cepat bagi membolehkan pemain seperti Paul Pogba, Bruno Fernandes dan Mason Greenwood melakukan umpanan kepada Ronaldo.
Barisan kejurulatihan United juga yakin kehadiran Raphael Varane turut meningkatkan kepantasan pasukan namun Ronaldo mahukan lebih lagi bagi merealisasikan kejuaraan buat pasukan di bawah kendalian Solskjaer.
“Apabila kamu memiliki Cristiano di dalam padang, kamu akan sentiasa ada peluang. Dia cukup bagus di depan gol dan turut beri kesan kepda semua orang, pemain dan secara keseluruhan dalam kelab ini.
“Dia suka lakukannya banyak kali. Ketika kamu melihatnya menentang Ireland (ketika mewakili Portugal) sebulan yang lalu, dia terlepas penalti namun menjaringkan dua gol hebat menenrusi tandukan.
“Itulah yang dilaluinya sepanjang karier. Saya menyaksikannya setiap hari, cara dia membina permainan dan menjaringkan gol setiap kali meraih peluang,” kata Solskjaer. – Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram