Liga Europa: Nasib berbeza dua kelab England


  • Podium
  • Jumaat, 01 Okt 2021

THE Hammers unggul di Stadium London, selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas kelab Austria, Rapid Vienna. — Agensi

DUA kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United dan Leicester City mengalami nasib berbeza perlawanan kedua saingan Liga Europa pada Jumaat.

The Hammers unggul di Stadium London, selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas kelab Austria, Rapid Vienna, manakala The Foxes tewas 0-1 ketika bertandang di Stadium Polish Army menentang kelab Poland, Legia Warsaw.

Dalam perlawanan West Ham United menentang Rapid Vienna, pasukan kendalian David Moyes itu mencetak dua gol sumbangan Declan Rice pada minit ke-29 diikuti jaringan masa kecederaan Said Benrahma.

Dengan kemenangan itu, The Hammers mengekalkan status pendahulu Kumpulan H dengan enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.

West Ham pada 17 September menyingkap saingan dengan kemenangan 2-0 ke atas kelab Croatia, Dinamo Zagreb di laman lawan hasil jaringan Michail Antonio minit ke-21 dan Rice (50').

Dalam perlawanan Leicester City menentang Legia Warsaw pula, The Foxes akur dengan kekalahan tipis 0-1.

Legia Warsaw mencetak gol pada minit ke-31 menerusi pemain Azerbaijan, Mahir Emreli.

Gergasi Poland itu kekal menerajui saingan kumpulan dengan enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Leicester itu pula kekal berada di kedudukan tercorot kumpulan selepas sekadar mengutip satu mata ketika melakar keputusan seri 2-2 menentang Napoli biarpun selesa mendahului dua gol di Stadium King Power itu sebelum ini. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram