Ederson buat lawak, tak kisah ganti posisi De Bruyne


  • Podium
  • Khamis, 09 Sep 2021

EDERSON membantu City memenangi trofi EPL sebanyak tiga kali. — AFP

PENJAGA gol Manchester City, Ederson baru-baru ini berseloroh dia boleh menggantikan Kevin De Bruyne sebagai perancang tengah kelab berkenaan.

Memetik daripada laman sesawang rasmi City, Ederson mendedahkan dia bukan saja bermain di posisi penjaga gol sebelum ini tetapi pernah beraksi sebagai pemain tengah dan penyerang ketika zaman remaja.

"Mungkin kalau saya tidak bermain sebagai penjaga gol, saya mahu beraksi di posisi De Bruyne.

"Tukar De Bruyne dan saya gantikan dia, tiada apa yang berubah," ujarnya.

De Bruyne terlepas tiga perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini akibat kecederaan buku lali.

Aksi EPL yang berhenti seketika bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa memberi ruang kepada De Bruyne untuk kembali cergas menjelang pertembungan menentang Leicester City pada Sabtu.

Pengakuan Ederson itu mungkin ada benarnya apabila umpanan terusnya ke jentera depan City dilihat berbahaya.

Malah, Ederson gemar terlibat dalam penguasaan bola dan ketepatan umpanannya adalah baik.

Sebelum ini, Ederson pernah menyatakan niat untuk mengambil sepakan penalti.

"Saya sering berlatih sepakan penalti dan saya percaya mampu melakukannya. Tetapi pengurus (Pep Guardiola) tidak pernah meminta saya mengambil penalti," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram