PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel mendedahkan pemain baharu kelab itu, Saul Niguez berdepan kesukaran untuk beradaptasi dengan rentak permainan Liga Perdana Inggeris ketika diturunkan pada Sabtu lalu.
Saul disenaraikan dalam kebelasan utama sewaktu menentang Aston Villa namun hanya bermain pada separuh masa pertama sahaja sebelum diganti dengan Jorginho.
Sepanjang 45 minit dia bermain, Saul kehilangan bola sebanyak tiga kali, paling banyak antara semua pemain Chelsea.
Malahan, peratusan hantarannya adalah 83.8 peratus dan Saul tidak melakukan sebarang bentesan.
"Itu satu keputusan yang sukar tetapi dia berdepan kesukaran dan saya bertanggungjawab ke atas pemilihan itu.
"Saya meletakkannya dalam perlawanan sukar selepas aksi antarabangsa dan dia mengalami kesukaran untuk bersaing dari segi mental dan fizikal serta secara umunya, intensiti dan tekanan tinggi.
"Dia juga bergelut untuk beradaptasi dengan sistem kami. Jadi, kami fikir untuk menstabilkan dan mengubah formasi ke 5-3-2 di babak kedua dengan memasukkan Jorginho," jelas Tuchel.
Pertukaran itu nyata membuahkan hasil apabila Chelsea lebih menguasai perlawanan itu dan berjaya mengatasi Villa dengan 3-0.
Saul dibawa masuk ke Chelsea secara pinjaman dengan pilihan pembelian dari Atletico Madrid pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram