
SAMA seperti sukan konvensional lain, e-sport juga menuntut komitmen dan pengorbanan besar daripada pelopornya.
Terpaksa berhabis wang dan berjauhan dengan insan tersayang mungkin antara pengorbanan yang menjadi lumrah.
Begitu juga dengan apa yang dihadapi pemain profesional dari Ukraine, Dmytro Bui (Oldboy) yang tidak dapat meluangkan ‘hari-hari terakhir’ bersama mendiang bapanya.
Bapanya meninggal dunia kerana komplikasi berkaitan Covid-19 baru-baru ini dan Oldboy tidak dapat hadir ke pengebumian rentetan tuntutan profesional.
Ini kerana, Oldboy ketika itu terpaksa berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana sedang menyertai kejohanan e-sport antarabangsa PUBG Mobile Global Championship (PMGC).
“Kata-kata tidak mampu untuk menggambarkan perasaan saya. Saya bersyukur kerana diberikan tunjuk ajar dalam kehidupan yang penuh liku ini.
“Ayah membesarkan saya menjadi seorang anak dan lelaki sejati. Semoga ayah tenang di sana,” luah Oldboy di Instagram miliknya.
Oldboy sebelum ini sudah mengharumkan nama Ukraine di pentas antarabangsa dengan meraih beberapa gelaran Gunslinger dalam kejohanan yang disertai.
Malah Oldboy yang mewakili pasukan Natus Vincere (NaVi) juga diangkat sebagai pemain terbaik rantau Eropah. – Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram