
MODEL terbaharu PlayStation 5 yang ketika ini dalam proses produksi, dikhabarkan tidak mempunyai sebarang perbezaan dari segi prestasi dengan model terdahulu.
Menurut laporan IGN SEA, model terbaharu itu yang menggunakan kod CFI-1100 tidak mempunyai perbezaan ketara berbanding model CFI-1000.
Perkara itu disahkan oleh Digital Foundry yang diberi peluang menguji kedua-dua model terbabit.
Ujian dilakukan dengan menggunakan perisian yang sama menunjukkan kedua-dua model tidak mencatatkan perbezaan ketara.
Bagaimanapun, dari segi perkakasan, model baharu itu adalah 300 gram lebih ringan berbanding CFI-1000.
Sony turut melakukan sedikit penambahbaikan dari segi 'stand' supaya mudah disambungkan menggunakan tangan tanpa sebarang peralatan tambahan.
Sebelum ini, Sony melakukan perubahan pada sistem penyejukan dalam PS5 model terbaharu namun menurut laporan, tiada perbezaan suhu yang terlalu ketara antara kedua-dua model.
Baru-baru ini juga Sony mengeluarkan kemaskini besar untuk PS5 yang membolehkan para penggunanya menambah storan dalaman pada konsol berkenaan.
Masalah utama yang dihadapi oleh para peminat konsol tersebut adalah kekurangan stok PS5 di pasaran ketika ini susulan isu kekurangan cip di peringkat global.
Menurut Sony, masalah itu akan terus dihadapi sehingga 2022. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram