JERSI nombor 10 Barcelona yang sebelum ini disarung Lionel Messi kini menjadi milik penyerang muda, Ansu Fati.
Difahamkan, Barcelona membuat keputusan itu berdasarkan peraturan Liga Sepanyol (La Liga) memutuskan bahawa pemain pasukan pertama untuk musim ini mesti memakai jersi bernombor 1 hingga 25.
The Catalan sebelum ini dikhabarkan mahu membiarkan jersi no.10 tanpa disarung mana-mana pemain dan Ansui kekal menyarung no.17.
Ansu kembali menyertai latihan pasukan setelah berehat selama sembilan bulan berikutan kecerderaan lutut yang dialaminya.
Pemain berusia 18 tahun itu menjadi sebahagian daripada wajah baharu barisan penyerang Barcelona setelah Antoine Griezmann mengikuti jejak Messi keluar dari Barcelona.
Griezmann kembali bergabung dengan kelab lamanya Atletico Madrid.
Ansu menyertai Barcelona pada usia 16 tahun pada tahun 2019 dan menjadi pemain termuda di kelab La Liga ketika menjaringkan gol menentang Osasuna pada Disember tahun sama.
Gol kemenangannya ketika menentang Inter Milan juga menjadikan Ansu penjaring termuda di kempen Liga Juara-Juara.
Secara keseluruhan, Ansu telah membuat 41 penampilan untuk skuad utama The Catalan dengan menjaringkan 13 gol.
Sementara itu, Barcelona turut menandatangani penyerang, Luuk de Jong secara pinjaman dari Sevilla.
Kelab itu turut berjaya mendapatkan dua tonggak baharu iaitu Memphis Depay dan Sergio Aguero secara percuma musim panas ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram