ANTOINE Griezmann sah akan menyarung semula jersi Atletico Madrid selepas penyerang Barcelona itu dilepaskan secara pinjaman sejurus sebelum jendela perpindahan pemain berakhir pada Selasa.
Barcelona mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan pada Rabu dengan menyatakan bahawa pemain itu dipinjamkan selama setahun ke Atletico Madrid.
Kontrak pinjaman Griezmann bersama kelab lamanya itu juga dilengkapi pilihan pembelian secara tetap selepas tempoh pinjaman tersebut tamat.
Dalam kenyataan itu, The Catalan menyatakan bahawa pihaknya dan Atletico Madrid akan berkongsi membayar gaji pemain tersebut.
Barcelona turut mengucapkan terima kasih kepada Griezmann atas sumbangannya terhadap kelab tersebut.
Griezmann merupakan antara pemain yang menerima gaji paling tinggi oleh Barcelona dengan harga 120 juta euro (RM589.11 juta) setahun.
Pemain kelahiran Perancis itu menyertai Stadium Camp Nou dari Atletico dua tahun lepas namun gagal untuk menyinar bersama The Catalan apabila hanya mampu menjaringkan 22 gol daripada 74 penampilan.
Selain Griezmann, Barcelona juga terpaksa melepaskan pemenang enam kali Ballon d'Or, Lionel Messi yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) bulan lalu.— Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram