NAMANYA pernah disebut untuk menjadi pengganti Pep Guardiola di Manchester City, tetapi kini Arteta bakal menjadi pengurus pertama Liga Perdana Inggeris yang dipecat musim ini.
Kekalahan memalukan kepada City — kekalahan ketiga berturut-turut — ternyata merobek reputasi Arteta sebagai pengganti Pep.
Kalah kepada pendatang baharu, Brentford pada perlawanan pertama, kemudian tewas kepada seteru London, Chelsea pada minggu lepas bukan permulaan yang baik untuk Arteta memulakan kempen.
Malah sebagai pasukan EPL berbelanja besar pada musim ini dengan nilai 147 juta euro, — sebelum Mancheser United membeli semula Cristiano Ronaldo — penyokong kelab London itu pastinya mengharapkan kebangkitan buat The Gunners selepas beberapa musim terperosok di Liga Europa dan gagal menembusi empat pasukan teratas.
Kini kekalahan 0-5 kepada juara bertahan ternyata membuatkan karier Arteta sebagai pengurus Arsenal bakal berakhir walaupun sebelum ini pengurusan kelab memberinya peluang sehingga Oktober untuk melakukan keajaiban.
Pengurus kelahiran Sepanyol itu juga berdepan tekanan daripada penonton yang sudah mula mendesaknya untuk meletak jawatan.
Ini dibuktikan dengan tindakan penyokong keluar stadium sebelum separuh masa berakhir dalam ketiga-tiga perlawanan awal ini.
Jelas petanda menunjukkan Arteta sudah kehilangan sokongan peminat yang kecewa dengan kedudukan Arsenal menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang gol.
Malah pengulas sukan Britain yang juga penyokong tegar Arsenal, Piers Morgan tanpa berselindung menempelak aksi skuad Arteta itu.
"Arsenal sudah menyerah kalah, tiada jiwa, tidak melawan, tiada apa-apa. Memalukan.
"Betapa teruk lagi boleh berlaku?"
"Ini akan menjadi dua minggu yang panjang buat Arteta," tulisnya di Twitter merujuk kepada EPL akan berehat selama dua minggu bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.
Kini tumpuan diberikan kepada bakal pengganti Arteta, dan Antonio Conte antara nama yang disebut untuk menyelamatkan Arsenal.
Conte kini tidak menguruskan mana-mana kelab selepas meninggalkan Inter Milan pada hujung musim lepas tetapi persoalannya adakah dia akan menerima tugas berat yang menantinya di Emirates. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram