"Tak mudah lawan 10 orang" - Klopp bagi alasan untuk sedapkan hati peminat Liverpool


  • Podium
  • Ahad, 29 Ogos 2021

Klopp sifatkan The Reds mencatatkan permulaan baik dalam liga selepas tiga perlawanan. — AFP

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan beliau tidak terlalu kecewa selepas gagal mendapatkan mata penuh selepas sekadar seri berdepan Chelsea yang tempang dengan 10 pemain di Anfield tengah malam tadi.

Kedua-dua pasukan itu terikat 1-1 dalam aksi ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil tandukan Kai Havertz pada minit ke-22 sebelum tonggak berbisa tuan rumah, Muhammad Salah menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-45.

"Semua orang fikir bermain menentang 10 orang sangat mudah, ia satu kelebihan dalam penguasaan bola tetapi struktur bertahan mereka menjadi lebih kuat kerana mereka bertahan lebih ke bawah.

"Musim masih awal. Kami seri dengan pasukan terbaik Eropah musim lalu. Ia bagus, satu permulaan yang baik. Tiga perlawanan, tujuh mata," kata Klopp.

Klopp menurunkan pemain muda berusia 18 tahun, Harvey Elliott dalam kesebelasan utama lewat malam tadi dan ia merupakan permulaan kedua dalam saingan liga buat pemain itu sementara tonggak The Reds, Thiago Alcantara sekadar diletakkan di bangku simpanan.

Di awal perlawanan, Chelsea tidak membuat sebarang ancaman kepada tuan rumah sehinggalah Kai Havertz menanduk masuk sepakan sudut Reece James pada minit ke-22.

The Reds dihadiahkan sepakan penalti ketika masa tambahan separuh masa pertama selepas James menghalang percubaan Sadio Mane menggunakan tangan sebelum diperintahkan keluar padang.

Salah kemudiannya mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram