Liga Perdana Futsal Malaysia batal lagi


  • Podium
  • Jumaat, 10 Sep 2021

Saingan MPFL turut dibatalkan pada musim lalu.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menumumkan saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) pada musim ini dibatalkan untuk musim kedua berturut-turut selepas turut dibatalkan tahun lalu.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, dalam satu kenyataan berkata, pembatalan itu dilakukan selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 dalam negara.

FAM sebelum ini turut membatalkan kejuaraan Piala Presiden dan Piala Belia pada 30 Ogos lalu, menjadikan MPFL kejohanan ketiga dibatalkan untuk musim kedua berturut-turut.

"FAM dengan ini memaklumkan secara rasmi bahawa pertandingan CUCKOO Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2021 yang telah dirancang sebelum ini terpaksa dibatalkan.

"Ia selepas mengambil kira situasi semasa berkaitan pandemik Covid-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran pertandingan yang dimaksudkan," katanya.

Saifuddin berkata, keputusan itu juga adalah selaras dengan status penganjuran pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat kebenaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tambahnya, FAM merasakan bahawa keputusan tersebut adalah yang terbaik pada ketika ini dan dalam masa yang sama dapat memberi lebih ruang kepada setiap pasukan untuk membuat perancangan menghadapi pertandingan ini bagi musim hadapan.

"FAM ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama semua pihak dalam pelaksanaan keputusan dan ketetapan seperti di atas dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua pasukan yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha dan perancangan FAM sebelum ini," kata beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram