Sarawak United sahkan kejuaraan malam ini?


  • Podium
  • Jumaat, 10 Sep 2021

SARAWAK United akan sahkan kejuaraan jika berjaya tundukkan Negeri Sembilan malam ini. — Facebook/Sarawak United

ADAKAH Sarawak United mampu mengesahkan kejuaraan Liga Premier malam ini?

Persoalan itu mula bermain di fikiran peminat bola sepak tempatan ketika wakil dari Borneo itu akan menentang pencabar terdekat, Negeri Sembilan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Walaupun kedua-dua pasukan sudah pun sah mendapatkan slot ke Liga Super musim depan, persaingan Sarawak United dan Negeri Sembilan masih lagi menambah kehangatan saingan Liga Premier musim ini.

Walaupun Selasa lalu skuad The Golden Hornbill tewas 1-0 kepada Kuching City, peluang kejuaraan masih lagi memihak kepada Sarawak United memandangkan mereka kini mengumpul 37 mata, dua mata mengatasi Negeri Sembilan di tempat kedua.

Jika tiga mata mampu digapai pada perlawanan malam ini, venue itu bakal menjadi saksi kepada penabalan Sarawak United sebagai juara baharu Liga Premier.

Andai keputusan terjadi sebaliknya atau pun kedua-dua pasukan seri, penentuan pasukan mana lebih layak untuk julang trofi akan ditentukan pada aksi terakhir, 21 September ini.

Menyedari Negeri Sembilan memiliki kemampuan untuk menganggu rentak, pengendali Sarawak United, E Elavarasan lebih selesa memikirkan persiapan sendiri.

“Peluang kejuaraan masih terbuka dan kita masih ada kelebihan dua mata di depan. Menang atau kalah pun yang penting kita memang sudah layak ke Liga Super.

“Cuma sekarang memang masih terbuka dan mungkin Negeri Sembilan akan ada peluang itu. Macam-macam mana pun semuanya bergantung kepada nasib juga,” katanya. – Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram