Beri peluang kepada penyerang tempatan – Safee Sali


  • Podium
  • Khamis, 09 Sep 2021

SAFEE (no 10) meraikan jaringannya ketika bantu Kuala Lumpur City menang 2-1 ke atas KDA FC.

KECENDERUNGAN pasukan tempatan menggunakan penyerang import turut memberikan kesan kepada tenaga tempatan untuk menyerlah dan berisiko menjejaskan prestasi Harimau Malaya.

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali turut akui ruang terhad dihadapi pemain tempatan dengan pasukan bertanding juga lebih suka menggunakan tonggak import di posisi serangan.

Atas dasar itu, Safee yang digelar SuperSafee meminta Malaysia Football League (MFL) agar mencari mekanisme terbaik untuk membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan.

"Saya mengharapkan MFL boleh buat kajian tentang perkara ini dan cari cara terbaik untuk mengehadkan pemain import. Bagaimana caranya itu terpulanglah kepada MFL.

"Saya risau dengan keadaan semasa malah saya melihat situasi sekarang sangat parah terutama untuk melihat siapa bakal menjadi penyerang kepada pasukan Harimau Malaya," katanya.

Apa yang diperkatakan Safee seakan ada benarnya ketika semua pemain import menguasai lapan teratas carta penjaring terbanyak Liga Super.

Penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun kini sudah pun merakam rekod baharu Liga Super, jaringan terbanyak dalam semusim selepas meledak 25 gol, mengatasi rekod lama milik bekas pemain Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Mohamad Ghaddar dengan 23 gol yang dilakukan pada 2017.

Ketika ini, PJ City menjadi pasukan tunggal yang mempertaruhkan 100 peratus tenaga tempatan.

Safee juga percaya penyerang import membunuh karier penyerang tempatan dan ketika ini belum jelas siapa yang boleh dianggap penyerang terbaik negara.

"Untuk menjangkakan siapa yang bakal menjadi penyerang terbaik negara, saya belum nampak sebab semua tidak diberi peluang dan tidak diberi minit bermain dengan secukupnya dalam pasukan.

"Mereka hanya boleh jaringkan gol di Liga Premier. Jadi, ia sangat membimbangkan ketika ini dalam usaha kita nak bentuk penyerang berkualiti.

“Tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana peluang itu diambil oleh pemain import,” katanya. - Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Safee, penyerang, import, Harimau Malaya