SEJAK terbabit dalam kemalangan ketika bermain ski pada 2013, peminat seluruh dunia sentiasa berminat untuk mendapatkan perkembangan semasa bekas juara dunia Formula 1 (F1), Michael Schumacher.
Selepas menerima rawatan dan berada dalam keadaan koma, Schumacher dibenarkan pulang ke rumahnya di Geneva, Switzerland dan dijaga oleh isterinya, Corinna bersama pasukan perubatan.
Namun sejak dari itu, agak jarang perkembangan Schumacher dapat didengar memandangkan Corinna memilih untuk kekal berahsia.
Pendekatan itu turut mendapat kritikan oleh beberapa pihak namun menerusi dokumentari ‘Schumacher’ yang dihasilkan Netflix, Corinna akhirnya tampil mendedahkan alasan sebenar iaitu untuk melindungi privasi suaminya itu.
“Kami berusaha untuk kekal sebagai satu keluarga, iaitu cara yang disukai oleh Michael.
“Kami tinggal bersama di rumah. Kami lakukan terapi. Kami lakukan apa saja untuk Michael jadi lebih baik dan pastinya dia berasa selesa.
“Kami teruskan kehidupan kami dengan cara 'private is private' seperti yang sering dikatakan olehnya. Cukup penting bagi saya pastikan dia boleh terus nikmati kehidupan privasi.
“Michael sentiasa lindungi kami, dan sekarang kami pula lindungi Michael,” kata Corinna.
Dokumentari itu mengisahkan kerjaya penuh gemilang Schumacher dan kehidupan keluarganya selepas kemalangan tragis itu.
Ini adalah filem pertama yang mendapat kebenaran keluarga Schumacher. Dokumentari itu akan diterbitkan 15 September ini. - Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
