'Ganjaran? Saya redha dengan hati terbuka'


  • Podium
  • Rabu, 08 Sep 2021

JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, meletakkan sepenuhnya soal ganjaran di tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan tidak mahu elemen simpati mempengaruhi keputusan untuk memberikan ganjaran kepadanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet.

"Biarlah KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang menentukannya. Jikalau ada imbuhan untuk saya, Alhamdulillah, saya menerimanya dengan 10 jari dan jika tiada imbuhan pun saya redha.

"Ia adat menang dan kalah. Sesiapa yang membawa pulang pingat emas, perak atau gangsa akan mendapat imbuhan.

"Macam saya, saya tiada sebarang pingat untuk dibanggakan, jadi saya redha dengan hati yang terbuka," katanya kepada Arena.

Ziyad mahu kerajaan membuat keputusan terbaik kerana ganjaran atlet negara bergantung kepada Skim Hadiah Kemenangan Sukan Malaysia (SHAKAM).

Berdasarkan SHAKAM, mana-mana atlet negara yang meraih pingat emas Sukan Paralimpik akan menerima wang ganjaran RM1 juta manakala pemenang pengat perak pula menerima RM300,000 dan gangsa dengan RM100,000 selain pencen bulanan.

Terdahulu, Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 dengan lontaran sejauh 17.94 meter pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini sebelum kemenangannya dibatalkan oleh penganjur.

Dia diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad serta dua atlet lain, Todd Hodgets dari Australia dan Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Pingat emas kemudian diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval yang mencatatkan lontaran sejauh 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram