Skuad B-20 negara pamer aksi memberangsangkan


  • Podium
  • Selasa, 07 Sep 2021

AKSI pemain skuad B-20 ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan FC Sabtu lepas. — Facebook FAM

BARISAN pemain skuad Bawah-20 Tahun (B-20) negara mempamerkan aksi meyakinkan biarpun tewas ketika perlawanan latihan menentang Negeri Sembilan FC, pada Sabtu, kata Brad Maloney.

Ketua jurulatih skuad B-20 yang berasal dari Australia berkata, anak buahnya membentuk kombinasi yang baik, selain berjaya meledak gol dan mencipta beberapa peluang sebelum tewas 1-2 kepada pasukan Liga Premier tersebut di Stadium Mini USIM.

"Ini adalah perlawanan pertama mereka, tapi satu ujian yang baik untuk para pemain. Keadaan padang sedikit menyukarkan pergerakan bola.

"Kita mahu melihat prestasi yang sama. Ingin melihat perkembangan mulai dari hari ini, sedikit persefahaman antara pemain dan perancangan yang dilaksanakan dalam latihan. Saya pasti hasilnya akan datang,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin.

Skuad Negeri Sembilan terlebih dulu mendahului pada babak pertama menerusi jaringan Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-26 dan N. Javabilaarivin pada minit ke-35, sebelum skuad B-20 negara merapatkan jurang menerusi Khairi Suffian Khaineyusri pada minit ke-59.

Skuad kendalian Maloney kini dalam kem latihan pusat fasa pertama selama sembilan hari sejak 30 Ogos lepas sebagai persiapan awal menjelang saingan Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022 bertemu Laos, Thailand dan tuan rumah Mongolia di Ulaanbaatar bermula 27 hingga 31 Oktober depan

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan berkata, walaupun pasukan B-20 dilihat kurang agresif ketika situasi satu-lawan-satu dalam babak pertama perlawanan, namun aksi lebih meyakinkan ditunjukkan pada separuh masa kedua di samping mampu mengawal bola dengan lebih baik.

"Selepas baru seminggu menjalani latihan bersama, saya nampak banyak aspek positif. Kalau mereka diberi peluang untuk bersama pasukan untuk tempoh lebih lama, saya rasa lebih banyak peningkatan kita boleh nampak daripada pasukan ini.

"Saya juga melihat ada kelebihan antara pemain-pemain (muda negara) ini yang bermain dalam Liga Premier,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

B-20, Brad Maloney, FAM