SEKALI pun berdepan situasi sukar ekoran pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan, Liga Malaysia (Liga M) masih dinilai sebagai salah satu industri yang mampu bertahan dan kekal relevan untuk diteruskan.
Penganjur Liga M, Malaysia Football League (MFL) juga sentiasa memerhatikan secara lebih dekat situasi semasa untuk memastikan segala keperluan sentiasa diambil kira.
Pelbagai usaha dan pendekatan sudah dilaksanakan badan pentadbir Liga M itu demi memastikan setiap pasukan bertanding mampu kekal di landasan betul dalam meneruskan kelangsungan.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang reaksi balas negatif daripada setiap pasukan bertanding sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
Presiden MFL, Ab Ghani Hassan
“Ketika Covid-19 ini kita tidak boleh nafikan yang pasukan berdepan kesukaran dan ia juga beri kesan kepada semua sektor. Tetapi kita sentiasa berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan.
“Setakat ini setiap kekangan dapat diatasi oleh pasukan kerana mereka (pengurusan) tahu tanggungjawab mereka.
“Berdasarkan pertemuan dengan CEO pasukan, kita tidak terima sebarang aduan dan kita juga sedia bertolak ansur jika ia perlu,” katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, walaupun terpaksa berdepan dengan situasi Covid-19, sambutan dan minat terhadap industri bola sepak negara dilihat masih kukuh termasuk keterujaan penaja untuk tampil bersama-sama pasukan.
Buktinya, daripada data yang dikeluarkan MFL, Liga Super masih berupaya meraih 21,814,979 penonton yang menyaksikan siaran langsung menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi).
Jumlah itu diperoleh menerusi kiraan penonton siaran langsung perlawanan bermula aksi pertama Liga Super pada 5 Mac 2021 sehingga perlawanan ke-13 pada 9 Mei 2021.
Sebagai rekod, siaran langsung perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada 10 Mei 2021 juga mencatatkan jumlah tontonan paling tinggi setakat ini iaitu 698,341.
Dengan kepesatan teknologi masa kini, sedikit sebanyak ia turut memastikan Liga M kekal mendapat perhatian dan sokongan semua pihak termasuk peminat yang pastinya tidak akan pernah luntur memandangkan bola sepak jadi sukan nombor satu negara.
Untuk saingan Liga Premier, MFL turut mengambil keputusan untuk membenarkan setiap pasukan bertanding membuat siaran langsung di platform media sosial atau pun platform striming masing-masing.
“Pihak MFL berharap ini membolehkan lebih peminat menyaksikan perlawanan dan juga dapat membantu kelab-kelab Liga Premier memberi pulangan komersial kepada penaja masing-masing,” kata Ab Ghani.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram