Lima pasukan buru gelaran naib juara Liga Super, intai slot Piala AFC tahun depan


  • Podium
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

SELAIN Terengganu dan Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur juga berpeluang merampas slot Piala AFC. — Bernama

LIMA pasukan dilihat berpeluang untuk mengejar gelaran naib juara Liga Super sekali gus mengisi satu lagi slot ke Piala AFC tahun depan.

Bercakap kepada portal sukan Sukanz, Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui kehangatan semakin dirasai dalam misi perebutan tempat kedua Liga Super tatkala Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir untuk mengesahkan kejuaraan buat kali kelapan berturut-turut.

Skuad kendalian Nafuzi kini di tangga kedua liga dengan mengumpul 37 mata selepas 19 perlawanan sementara Kedah Darul Aman di tempat ketiga kini kurang dua mata namun masih memiliki kelebihan dua perlawanan.

Namun, bagi Nafuzi, peluang untuk bergelar naib juara Liga Super bukan sahaja perlu tertumpu kepada dua pasukan ini malah, skuad lain seperti Selangor FC dan Penang FC juga tidak boleh dipandang mudah.

“Bagi saya, perebutan untuk tempat kedua liga bukan hanya membabitkan Terengganu dan Kedah, tetapi Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur juga perlu diberi perhatian.

“Kalau pasukan saya buat sebarang kesilapan, bila-bila masa sahaja pasukan lawan boleh mengatasi Terengganu dan sebab itu saya katakan kepada pemain untuk anggap setiap perlawanan selepas ini ibarat aksi final yang perlu kita menang.

“Menentang Kuala Lumpur pada hari Ahad ini, tidak banyak perubahan yang dilakukan dan saya positif dengan semua pemain yang ada walaupun kita terpaksa terima kehilangan kapten pasukan iaitu Carli de Murga”, katanya.

Untuk rekod, saingan Liga Super 2020 yang lalu menyaksikan Terengganu menamatkan saingan di tempat ketiga manakala Kedah muncul selaku naib juara. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram