ROMELU Lukaku melakar sejarah tersendiri apabila menjaringkan gol ke-100 bersama Belgium ketika membantu pasukannya menewaskan Republik Czech 3-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022, Zon Eropah pada Isnin.
Penyerang sensasi Belgium itu menjaringkan gol pada minit kelapan.
Selepas cetakan gol Lukaku, skuad kendalian Roberto Martinez itu juga berjaya menambahkan lagi dua gol hasil jaringan Eden Hazard pada minit ke-41 dan Alexis Saelemaekers (min-65).
Martinez memberitahu, gol itu juga menjadi penyuntik semangat buat skuad The Red Devils itu untuk beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan.
"Gol yang dijaringkan Lukaku itu secara keseluruhannya telah membuka ruang kepada pemain-pemain lain untuk beraksi cemerlang dengan mengatur asakan ke gawang lawan.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kemenangan ini terutamanya dengan aksi yang dipamerkan pemain," katanya.
Tambahnya, para pemain juga telah mematuhi setiap percaturan taktikal yang telah diterapkan pada sesi latihan bagi menjamin kemenangan kali ini.
Sementara itu, Martinez mahu skuad kendaliannya itu untuk memberikan fokus ketika berdepan Belarus pada Khamis dalam usaha mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan E bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2022 zon Eropah. —Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram