Kenapa Sancho pilih 25, bukannya 7?


  • Podium
  • Rabu, 25 Ogos 2021

KEPULANGAN Jadon Sancho ke Manchester selepas empat tahun dia meninggalkan bandar tersebut untuk bermain di Borussia Dortmund adalah salah satu perpindahan terbesar pada jendela perpindahan musim panas ini.

Nilai pemain itu yang melonjak daripada 10 juta pound (RM58.46 juta) kepada 73 juta pound (RM426.74 juta) menggambarkan perkembangan positif yang dipamerkan oleh Sancho di Jerman.

Namun apakah impak yang boleh dijangkakan daripada seorang pemain yang tidak pernah bermain dalam sebarang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL)?

Pada masa sama, ramai yang kecewa dia tidak menggunakan jersi no.7, sebaliknya sekadar menyarung jersi bernombor 25.

Usai beberapa perlawanan EPL musim ini, Sancho juga sekadar tampil sebagai pemain gantian gara-gara masih belum cergas sepenuhnya meskipun majoriti peminat The Red Devils mahukannya beraksi dalam kesebelasan utama.

BBC melaporkan, Sancho merupakan seorang pemain hibrid moden. Dia mempelajari bola sepak jalanan berdekatan kawasan rumahnya di Kennington, South London.

"Ketika kecil, saya selalu melihat mereka yang lebih tua bermain bola sepak dan sejak itu saya bermain bersama mereka dan mula jatuh cinta dengan bola sepak," kata Sancho ketika ditemu bual pada sesi pengenalannya sebagai pemain baharu Manchester United baru-baru ini.

Rekod Sancho di Liga Jerman (Bundesliga) juga amat mengagumkan. Pada musim lalu, dia berjaya menjaringkan 16 gol dan 20 bantuan hantaran (assist) dalam semua kejohanan.

Musim sebelumnya, dia merekodkan 20 jaringan dan 20 bantuan hantaran. Statistik berkenaan menunjukkan status Sancho sebagai salah seorang pemain muda Eropah yang berbakat besar.

Disebabkan itu, Manchester United sanggup menjadikan Sancho sebagai pemain keempat termahal kelab itu selepas Paul Pogba, Harry Maguire dan Romelu Lukaku.

Di Manchester United, impian peminat Sancho menyaksikannya menyarung jersi sinonim nombor 7 tidak kesampaian kerana nombor ikonik itu menjadi milik Edinson Cavani ketika ini.

Ramai peminat memberikan teori bahawa pemilihan nombor 25 itu menyamai tindakan pernah dilakukan oleh bekas pemain Inter Milan, Ivan Zamorano.

Zamorano terpaksa meletakkan nombor '1+8' pada jersinya ketika itu kerana nombor 9 diberikan kepada Roberto Baggio.

Jika Sancho diberikan nombor 7 selepas pemergian Cavani, dia akan mengikut jejak langkah lagenda Manchester United seperti Eric Cantona, George Best, David Beckham dan Cristiano Ronaldo. — AGENSI.

Manchester United, Sancho