PERJUANGAN masih belum selesai bagi mengembalikan semula pingat emas yang dimenangi Muhammad Ziyad Zolkepli yang 'dirompak' dalam acara lontar peluru F20 di pentas temasya Paralimpik Tokyo 2020 tempoh hari.
Ini kerana, kontinjen Malaysia sedang dalam proses mengemukakan rayuan kedua.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya tidak akan berputus asa meskipun rayuan pertama telah ditolak sebelum ini.
“Namun, rayuan kedua telah dikemukakan ketika pertemuan bersama chef de mission (CDM) sebelum ini.
“Rayuan ini juga akan dipanjangkan kepada IPC (International Paralympic Committee) dan WPA (World Para Athletics) oleh panitia pengelola Tokyo,” katanya.
Shapawi berkata, satu lagi rayuan bersama dengan Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) dan Persatuan Para-Atletik Malaysia (MPAA) pula akan dihantar terus kepada IPC dan WPA.
“PCM telah dinasihatkan untuk mengemukakan terus rayuan setelah Paralimpik selesai. Pihak MSN akan bekerjasama dengan PCM dan MPAA untuk menyelesaikan perkara ini," tambahnya.
Katanya lagi, MSN juga akan bekerjasama dengan jawatankuasa penyiasatan dalaman bebas yang ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Pada Selasa, kemenangan Ziyad dibatalkan apabila diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) susulan dilaporkan lewat tiba ke call room atau bilik panggilan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram