DAKWAAN bahawa atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli lewat ke lokasi pertandingan 28 minit adalah tidak tepat.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Megat D Shahriman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seperti dilapor sebuah akhbar tempatan pada Jumaat yang memetik sumber kontinjen negara itu dan berkata pihaknya tidak pernah memberi sebarang input kepada mana-mana pihak mahupun pemberita berkenaan.
"Saya menyangkal dakwaan laporan akhbar itu. Cerita yang diberikan sumber itu tunggang-langgang,” katanya.
Megat D Shahriman berharap individu yang melakukan tindakan sedemikian agar lebih bertanggungjawab kerana sebarang spekulasi yang tidak benar mampu menjejaskan proses siasatan melibatkan isu penarikan semula pingat emas Ziyad.
Megat yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia berkata, beliau sedia dihubungi oleh pihak media pada bila-bila masa sekiranya mereka mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.
Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 dengan lontaran sejauh 17.94 meter di Stadium Olimpik, Tokyo pada Selasa sebelum kemenangannya dibatalkan oleh penganjur.
Beliau diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad serta dua atlet lain, Todd Hodgets dari Australia dan Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Jumaat bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan Ziyad di temasya berprestij itu.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jawatankuasa itu akan berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penglibatan anggota bebas.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah dan ahlinya terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Mohd Manshahar Abdul Jalil. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram