INSIDEN pembatalan pingat emas tidak pernah dijangka malah tidak pernah difikirkan ketika dasar pemberian ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan di temasya sukan dibuat, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sehubungan itu katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mengemukakan cadangan kepada Kabinet mengenai ganjaran setimpal kepada jaguh lontar peluru paralimpik kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli bagi menghargai pencapaiannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
"Tidak kita terfikir perkara itu akan berlaku bagaimana caranya untuk kita memberi ganjaran kepada kes seumpama itu.
"Kes ini agak terpencil, macam masalah pandemik Covid-19 yang pada awalnya tiada negara yang tahu apa nak buat, begitu juga dengan kes Muhammad Ziyad.
"Jadi saya ingin cadangkan kepada Kabinet kemungkinan kita perlu melihat perkara ini kerana ia agak asing dan tidak pernah berlaku,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Nota Serah Tugas Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS pada Khamis.
Ziyad terlepas pingat emas selepas penyertaannya dibatalkan kerana lewat dua minit memasuki bilik menunggu.
Terdahulu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak mengiktiraf catatan 17.94 meter yang dilakukan oleh atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sebagai rekod baru kebangsaan.
Presidennya, Datuk SM Muthu mengesahkan perkara itu berdasarkan perbincangan antara Jawatankuasa Teknikal KOM.
Katanya, KOM bagaimanapun akan tetap memberi hadiah saguhati kepada Ziyad atas usaha kerasnya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram