Maaf Ziyad, rekod lontaran tidak diiktiraf


  • Podium
  • Jumaat, 03 Sep 2021

Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 dengan lontaran sejauh 17.94 meter sebelum kemenangannya dibatalkan. — Bernama

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak mengiktiraf catatan 17.94 meter yang dilakukan oleh atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sebagai rekod baru kebangsaan.

Presidennya, Datuk SM Muthu mengesahkan perkara itu berdasarkan perbincangan antara Jawatankuasa Teknikal KOM.

Katanya, KOM bagaimanapun akan tetap memberi hadiah saguhati kepada Ziyad atas usaha kerasnya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Saya ucapkan tahniah kepada Ziyad kerana menjadi juara buat rakyat negara.

"Memang kita akan beri RM3,000... Kita akan bincang pasal ni dalam mesyuarat," katanya kepada Arena.

Untuk rekod, Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 dengan lontaran sejauh 17.94 meter di Stadium Olimpik, Tokyo pada Selasa sebelum kemenangannya dibatalkan.

Ziyad diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad serta dua atlet lain, Todd Hodgets dari Australia dan Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung. — Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram