Filem Goal! kini jadi realiti


  • Podium
  • Ahad, 05 Sep 2021

SANTI Munoz (kiri) menjadi perbualan hangat selepas namanya hampir mirip dengan watak utama filem Goal!, Santi Munez (kanan). — Agensi

BAGI peminat setia bola sepak, pasti ada antara anda pernah menonton filem bertajuk Goal! yang ditayangkan di seluruh dunia pada 2005.

Filem itu memaparkan kisah seorang pemuda Mexico yang mengejar impiannya untuk bermain bola sepak di peringkat profesional.

Watak pemuda berkenaan iaitu Santiago Munez bekerja keras untuk mencapai impiannya dan akhirnya berjaya bermain bersama kelab Newcastle United.

Ironinya, selepas 16 tahun filem itu ditayangkan, nama Santiago Munez menjadi topik perbincangan hangat semula.

Kali ini, pada jendela perpindahan baru-baru ini, Newcastle berjaya memeterai perjanjian mendapatkan Santiago Munoz.

Nama mereka yang mirip menyebabkan Munoz menjadi buah mulut dalam kalangan para peminat.

Selain itu, pelakon yang memegang watak sebagai Munez iaitu Kuno Becker turut menghantar ciapan kepada Munoz di Twitter selepas perpindahan itu direalisasikan.

"Saya baru sahaja mendengar, kini di dunia nyata, tentang seorang pemain bola sepak hebat yang baru menyertai Newcastle. Sebuah pasukan, sebuah bandar yang sangat, sangat dekat di hati saya.

"Santi Munoz memiliki nama yang sama, hampir sama seperti kisah fiksyen dalam filem Goal! di mana aku memainkan watak Santi Munez, sebuah kisah luar biasa dan saya yakin kisah di dunia nyata kali ini pun akan memberikan jumlah jaringan yang banyak. Bukan mahu memberi tekanan, Santi!," kata Becker.

Munoz menyertai Newcastle dari Santos Laguna menerusi pinjaman tetapi kelab tersebut mempunyai pilihan untuk mendapatkan pemain itu secara tetap. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram