Emas bikin Liek Hou tidur tak lena


  • Podium
  • Ahad, 05 Sep 2021

Liek Hou terharu dengan ucapan tahniah daripada rakyat Malaysia. — Bernama

SAYA sangat bangga dan gembira sehingga tak dapat nak tidur lena semalam," kata atlet badminton paralimpik kebangsaan, Cheah Liek Hou mengenai kemenangannya di arena Sukan Paralimpik di Tokyo pada Sabtu.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata, dia menerima ucapan tahniah daripada pelbagai pihak dan berasa cukup istimewa dengan kejayaan manis meraih emas pertamanya bagi kategori SU5 (kecacatan fizikal).

"Semakin ramai yang kenal saya sekarang, saya harap ini adalah permulaan yang baik untuk saya.

"Pingat ini untuk seluruh rakyat Malaysia, terima kasih,” katanya menerusi satu hantaran video pada Ahad.

Juara dunia sebanyak enam kali itu mencipta sejarah menjadi pemenang pingat emas pertama sukan itu di temasya Paralimpik selepas menewaskan pemain nombor satu dunia, Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-17, 21-15 pada final di Stadium Nasional Yoyogi, Tokyo.

Beliau seterusnya mendedikasikan pingat emas itu untuk rakyat Malaysia terutama jurulatih yang membimbingnya, Datuk Rashid Sidek, keluarga, bekas jurulatihnya dan rakan-rakan.

Badminton dipertandingkan buat kali pertama di Sukan Paralimpik Tokyo yang bermula 24 Ogos dan menutup tirainya malam Isnin. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram