Momen atlet Greece bantu Abdul Latif curi tumpuan


  • Tular
  • Ahad, 05 Sep 2021

PRODOMOU menjadi orang pertama yang datang membantu Abdul Latif. — Facebook

TINDAKAN atlet lompat jauh paralimpik Greece, Thanasis Prodromou yang membantu wakil negara, Abdul Latif Romly ketika acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Sabtu menjadi perhatian ramai warga netizen di media sosial.

Dalam pelbagai perkongsian yang dimuat naik, netizen memuji tindakan Prodromou yang membantu penyandang pingat emas itu semasa dia mengalami kecederaan selepas menyelesaikan lompatan kelima.

Prodromou yang yang juga pemenang pingat perak dalam acara sama, dilihat terus berlari mendapatkan Abdul Latif ketika itu sedang memegang pangkal pehanya dan bertanyakan perihal keadaan diri atlet para negara itu.

Dia turut membantu menyapu pasir di rambut Abdul Latif ketika atlet negara kita duduk di kerusi roda bagi meredakan kesakitan yang dialami.

Dalam satu hantaran di laman sosial Twitter, pemilik akaun @_bossbellkimjd, berkongsi momen tentang kejadian itu.

Dalam status berkenaan, dia menyatakan bahawa tindakan atlet Greece itu membuktikan nilai semangat kesukanan yang sebenar. Dia juga berterima kasih kepada atlet berkenaan.

Status berkenaan mendapat lebih 5,000 tanda suka dan telah dikongsi (retweet) lebih 3,000 kali.

abdul latif

CIAPAN di Twitter yang memuji tindakan atlet para Greece membantu Abdul Latif.

Rata-rata netizen memuji tindakan Prodromou yang disifatkan sebagai semangat kesukanan yang baik.

Tidak kurang juga ada yang berterima kasih dengan tindakan atlet itu dan menyatakan bahawa itu merupakan nilai kemanusiaan yang wajar dicontohi.

NETIZEN memuji tindakan Prodromou.

Ada juga yang meninggalkan komen lucu berkaitan tindakan Prodromou yang membuang pasir pada rambut Abdul Latif.

Salah seorang pemilik akaun, @zhrnmmkhrz meninggalkan komen yang menyatakan bahawa tindakan itu merupakan erti kepada moto sukan menyatupadukan manusia.

"Ini yang dimaksudkan sukan menyatupadukan kita. Bukan protes atau membatalkan keputusan. Tahniah Abdul Latif," tulisnya.

Pemilik akaun, @syauqinaBasrie pula meninggalkan komen yang melihat tindakan Prodromou sebagai sweet.

"Dia sangat baik (sweet), saya suka cara dia menjadi orang pertama yang membantu Latif dan kedua ketika dia membersihkan rambut Latif," komennya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram